2013

P/s : hanya kisah peribadi. Bukan apa-apa. U may leave  if you feel like doing so.

-2013-

Tahun aku belajar mencintai diri,
Dan menghargai mereka yang di sekelilingku.

------------

Tahun ini, ingatnya bakal menjadi tahun yang semakin tenang emosinya,
Rupanya silap.

Tahun ini rupanya emosi masih bergelora sekencang ombak ribut.
Seketika ia tenang, kemudian berkocak kembali,
Seketika ia reda, kemudian ribut kembali.

Bermula dengan ketenangan, muncul semula keraguan, setelah mendapat pencerahan dan terlihat jalan yang semakin terang, tiba-tiba diberitakan jalan itu perlu ditutup segera. Tidak sesuai untuk dilalui.

Sehingga yang kelihatannya , seperti kabus yang tebal.
Di situ ada kesedihan melampau, 
Di situ ada kekesalan menggunung,
Di situ ada serpihan-serpihan yang berkecai.

Di mana silapnya? Atau itukah takdir aturan-Nya?

Itu soal hati. Sekencang mana permainannya, hidup masih perlu diteruskan.

Kata abah, "Takpe. Bukan salah siapa-siapa."

--------------

Namun hati itu ternyata sudah menjadi serpihan.
Dan proses pemulihannya perlukan masa dan terapi yang panjang.

Dan diketika kelemahan dan kedukaan itu,
Allah buka peluang sekali seumur hidup.
Menjejakkan kaki ke Bumi Gaza, 
Bumi yang mengajar aku 10000001 erti kehidupan.

Biarlah ponteng kelas seketika,
Rasanya kesungguhan dari awal tahun, dan selepas pulang,
 cukup untuk menggantikan kelas-kelas yang ditinggalkan,
Mungkin mereka yang di sekolah juga, perlukan 'cuti' dari melihat kelibatku setiap hari.

Gaza = Resistance = erti kehidupan.

Bumi yang tenang,
Wajah - wajah yang penuh kelembutan dan kasih sayang,
Prinsip-prinsip yang selama ini dipelajari, jelas menjadi amalan.

Suatu malam,  pillow talk dengan kakak, makcik, nenek di sana,
Sungguh , pengalaman 10000001 nikmat.
Sekejap si nenek bercerita dengan titisan air mata,
Dan si kakak-kakak kemudiannya berseloka bergelak ketawa,
Makcik-makcik bercerita pengalaman hidup mereka.

Allah cerahkan hati kami untuk dapat memahami bahasa Arab mereka.
Dan mereka memahami bahasa arab tunggang terbalik kami,
Indah, terasa seperti sebuah keluarga yang sudah lama tidak bersua.

Di bumi itu juga, aku cuba semula mengaplikasi kemahiran mengambil gambar,
Walau masih hanya di peringkat amateur.
Sedang dengan poyonya berusaha, tiba-tiba datang seorang photographer gaza,
Menunjukkan handphonenya, rupanya ada gambar aku yang sedang leka mencari angle untuk menangkap gambar,
Lalu dihadiahkan gambar itu padaku. Hadiah dari Gaza.

Gaza bukan bumi malaikat. Masih ada sahaja manusia berperangai syaitan.
Akhirnya, terletak pada diri-sendiri untuk memilih jalan mana dalam hidup ini untuk diikuti.
Namun lebih ramai yang kujumpai rijal-rijal yang lagaknya seperti rijal sejati.
Serius ketika bekerja , murah senyuman dan berakhlak mulia.

Satu malam, seorang isteri as-syahid mengajak kami makan di rumahnya dan keluarga,
Dia bercerita tentang arwah suaminya.....ketika itu dia sedang mengandung anak pertama.
Dan kini dia berkahwin dengan adik kepada suaminya.

" Aku sangat-sangat cintakan dia....." Kata dia.

Ada getaran pada suaranya. Jelas kebahagiaan pada rupanya ketika menceritakan perihal as-syahid.
Antara kami yang tidak faham bahasa arab pun, dapat menangkap kegembiraan dan perasaan cintanya yang mendalam.

Ahhh...bumi ini terlalu penuh dengan cinta.

Di hari yang lain, bersembang dengan makcik yang lain.
Dia menceritakan keindahan masjid al-aqsa, yang seringkali menjadi tempat rehlah ketika mereka kecil.
Sekali lagi, air mata dia tumpah.

Bumi ini, terlalu penuh dengan keteguhan dan cinta.

-------------

Kisah itu juga menjadikan aku akrab dan erat dengan seorang teman yang baik.
Mungkin kerana dia banyak tahu kisahnya, dan aku percaya pada pendapatnya.

Lalu kami semakin erat. Kata dia, mafhumnya,

" mungkin dari peristiwa itu. Allah mahu aku dapat teman baik yang baru. Yang selama ini kami hanya berpandangan dan mengagumi dari jauh."

Allah, sungguh aku syukur Kau kurniakan aku teman baru seperti dia. Rupanya banyak kisah yang kami senang berkongsi bersama.

------------

Kehidupan perlu diteruskan,
Hari ini perlu lebih baik dari semalam,
Dan esok, pastinya perlu lebih baik dari hari ini.

Cabar diri menjual itu dan ini,
Cabar diri buang ketakutan-ketakutan yang ada,
Cabar diri bina kekuatan yang baru.
Cabar diri berusaha lebih dari biasa,
Cabar diri menjadi manusia yang boleh menerima kekalahan dan kegagalan.

Cabar diri dan terus mencabar diri.
Agar aku bukan jadi orang yang selesa di takuk lama.
Agar aku bukan jadi orang yang selesa di belit emosi.

------------

Tafsir surah an-nur.
Cukup bermakna.
Memberi pedoman dan panduan,
Untuk aku, seorang perempuan.
------------

Pulang ke Malaysia,
Sungguh aku merasakan sudah lama aku terpisah dari keluargaku sendiri,
Sungguh rupanya banyak yang terjadi tanpa aku ketahui,
Sungguh aku beruntung. Punya mereka yang setia di sisi.

Rupanya, semuanya ada strugglenya yang tersendiri.
Dan aku, bukan tuhan yang mampu memulihkan segalanya,
Hanya mampu bertukar sokongan dan dukungan,
Belajar menjadi yang setia di sisi mereka, yang terlalu memberi erti.

Dan dia, seorang abah yang sungguh teguh,
Jika penyakit itu merubah emak menjadi manusia yang lain,
Maka ia juga mengubah abah yang lain,
Abah yang mengambil peranan seorang ibu dan ayah.

Sebesar mana pun anaknya,
Anak itu tetap anaknya,
Yang sentiasa bermain di kepala dan menetap di hatinya,
Sentiasa.

------------

Exam yang terkadang membina jiwa,
Dan terkadang melumpuh jiwa.

------------

Ketika mana ayyash menjadi tempat paling selesa,
Ketika itu Allah tariknya dari kamil
Mungkin, kerana ayyash itu sudah semakin pudar dari nama yang diberi.
Wallahu a'lam.

------------

Dan akhirnya,

Aku belajar untuk menerima diri-sendiri, walau belum sepenuhnya,
Aku belajar untuk membina dari awal confident dalam diri, yang selama ini mungkin di tahap gagal dan diabaikan.

Aku belajar untuk lebih empati,
Aku belajar untuk lebih menghargai,
Aku belajar untuk lebih waras dalam melihat sesuatu.

Semakin aku belajar, semakin aku malu dengan kebodohan diri,
Semakin aku belajar, semakin aku tahu lemahnya diri,
Semakin aku belajar, semakin aku tahu hanya Allah yang boleh selamatkan aku,
Dari kejahatan apa-apa pun yang ada di dunia ini....dari luar atau dalam diri.

Aku belajar untuk mencintai diri sendiri.

-------------

Moga Allah lupuskan , hilangkan semua keaiban-keaiban yang ada.
Hanya Dia yang berupaya buat segalanya.

Moga kami sentiasa jadi manusia yang redha dengan setiap ketetapan Dia,
Yang melihat dunia dengan neraca yang ditetapkan-Nya.

Ya Allah, berikan kami petunjuk dan pedoman, dan lindungi kami dari kejahatan diri sendiri.

Ya Allah, kurniakan kami cinta-Mu, dan cinta mereka yang cintanya bermanfaat untuk kami lebih mendekati -Mu,

Ya Allah, setiap apa yang Kau jadikan rezeki bagi kami, yang merupakan kesukaan kami, jadikanlah ia kekuatan untuk kami sentiasa melakukan sesuatu yang dicintai-Mu,

Ya Allah, apa yang Kau tarik dan ambil dari hidup kami dari perkara-perkara yang kami suka,
Jadikanlah ia ruang untuk digantikan dengan perkara yang KAU suka.

Allah, jika Kau takdirkan mati untuk kami, maka ampuni kami,
Jika Kau takdirkan kehidupan untuk kami, maka pelihara hidup kami sebagaimana Kau pelihara hamba-hamba kecintaanMu.

Allah, rahmati ibu bapa kami, seperti mana mereka mengasihi kami sejak dari kecil.

Ameen.

-----------

No comments: