sabar



wahai insan bernama anisah shamilah,
bersabarlah dengan kedangkalan akalmu, kejahilanmu, dan tuntutlah ilmu,
bersabarlah dengan kegopohanmu, dan berkenalanlah dengan ketenangan,
bersabarlah dengan kelantanganmu, dan belajarlah berhikmah,
bersabarlah dengan kerapuhan hatimu, dan kuatkanlah dengan iman,
bersabarlah dengan kekecamukan emosimu, dan belajarlah menangani,
bersabarlah dengan kejatuhanmu, terperosok tersembam, dan belajarlah melangkah semula,
bersabarlah dengan kejelekan peribadimu, dan cantikkanlah,
bersabarlah dengan kesilapan masa lepasmu, dan binalah diri yang baru,
bersabarlah dengan ketakutanmu, dan latih dirimu berani dan tawakal.

bersabarlah dalam mengenali dirimu, dan teruslah menggali,
bersabarlah dalam mengenali Rasulmu, dan teruslah menghargai,
bersabarlah dalam mengenali Tuhanmu, dan teruslah mencintai,
bersabarlah dalam meniti perjuanganmu, dan jangan pernah kau berhenti.

bersabarlah dengan kesabaran.
nescaya kesabaran akan turut sabar bersamamu.

bukankah sabar itu ucapan tahniah dari para malaikat di dalam syurga?



"Salam sejahteralah ke atas kamu kerana kesabaranmu. 
Maka alangkah nikmatnya tempat kesudahan itu."


bersabarlah dalam melakukan ketaatan,
bersabarlah dalam meninggalkan maksiat,
bersabarlah dalam menerima ujian, qada' dan qadar dari Allah.



semakin aku mengenal erti sabar, semakin aku sedar, bahawa aku belum cukup mengenali.

wahai yang bernama anisah,
bermesralah dengan ketentuan Tuhan.

wahai yang dinamakan shamilah,
lengkapkanlah dirimu untuk bertemu Tuhan.

No comments: